Kiriman

Dengan KeagunganMu

15.5.13

Gerakan Kristianisasi untuk Malaysia, didalangi oleh DAP.



Saya dapat video ini dari Facebook. Bagaimanapun, sebelum ini saya dijemput menghadiri satu ceramah dari penceramah didalam video ini.

29.1.13

Isu Kalimah Allah




Assalamualaikum W.B.T,

Penggunaan kalimah Allah untuk digunakan oleh orang-orang bukan Islam adalah satu usaha mereka untuk memurtadkan orang Islam.  Kita harus mengetahui apa tujuan utama mereka menggunakan kalimah Allah di dalam kitab Bible yakni milik golongan yang beragama Kristian. Apakah tujuan sebenar mereka untuk menginginkan kalimah Allah di dalam Bible? Apakah relevan atau kalimah Allah ini benar-benar milik mereka bersama? Mari kita rungkaikan satu per satu.

APAKAH KRISTIAN AGAMA DARI LANGIT?

Pertama sekali kita harus merungkaikan apa itu Kristian dari sudut mata umat Islam. Kristian kini dianggap suatu ajaran yang dimulakan oleh Nabi Isa a.s.  Mereka bertuah sebenarnya kerana kita umat Islam mengiktiraf ianya agama baharu sedangkan kaum Yahudi hingga kini tidak mengiktiraf Kristian merupakan satu agama yang mengesakan Allah S.W.T. Ini terbukti di dalam Bible sendiri, golongan pemimpin-pemimpin Yahudi pada zaman itu, tidak menerima Nabi Isa a.s.seorang nabi malah mereka menuduh Baginda merupakan hasil daripada pengzinaan oleh bondanya Mariam.

‘Dan kerana kekafiran mereka (Terhadap Isa), dan tuduhan mereka terhadap Maryam dengan kedustaan besar (Zina).(An Nisaa:156)’

Jika dituruti kisah keturunan Nabi Isa a.s. yang dicatit di dalam Bible, keturunan baginda bermula dari hasil penzinaan seorang lelaki bernama Yehuda dengan seorang wanita bernama Tamar (bekas menantu lelaki tersebut) yang menyamar sebagai seorang pelacur. Pada mulanya, Wanita ini berkahwin dengan salah seorang daripada tiga anak lelaki tersebut. Oleh kerana kelakuan anak lelakinya  terhadap isterinya di anggap jahat di mata Tuhan, maka lelaki ini mati kerana balasan Tuhan secara langsung. Kemudian wanita ini berkahwin dengan salah seorang lagi dari anak lelaki tersebut, begitu juga perkara sama berlaku. Tetapi untuk bapa mertuanya yang akhirnya melakukan penzinaan, tidak mendapat hukuman langsung dari Tuhan. Malah mendapat  dua orang anak daripada hasil penzinaan ini. Anak inilah sebagai permulaan kepada keturunan Nabi Isa a.s. Inilah antara mengapa yahudi tidak menerima Nabi Isa a.s. sebagai seorang nabi hingga kini.

‘.....Yehuda memperanakan Peres dan Zerah dari Tamar....’(Matthew 1:1-3)

Bangsa Yahudi bermula dari keturunan yang dikira bermula dari Nabi Ishak a.s. anakanda kepada Nabi Agung Ibrahim a.s. Manakala Bangsa Arab pula bermula dari Abang kepada Nabi Ishak a.s. iaitu Nabi Ismail a.s. Bangsa Yahudi merupakan hamba kepada kerajaan firaun sehinggalah tibanya seorang nabi pada pada abad ke 13 iaitu Nabi Musa a.s. yang merupakan anak angkat kepada firaun. Nabi Musa membebaskan Kaum Yahudi dari dijadikan hamba firaun. Selepas Nabi Musa a.s. terdapat ramai nabi-nabi yang dilantik oleh Allah untuk mengawal tabiat liar Bangsa Yahudi. Bermula dari zaman Nabi Musa a.s. hinggalah kedatangan Nabi Isa a.s., memakan masa lebih dari 1200 tahun. Kita lihat, selepas Nabi Musa a.s. munculnya nabi-nabi agung yang lain seperti  Harun a.s., Zulkifli a.s., Daud a.s., Sulaiman a.s., Ilyas a.s., Ilyasa a.s., yunus a.s., Zakaria a.s. dan Yahya a.s. Mereka ini nabi-nabi yang diutus dengan tanggungjawab yang sama, membawa keselamatan untuk umat mereka. Ramai lagi nabi-nabi yang tidak kita ketahui dan sebahagian mereka memimpin Kaum Yahudi. Alangkah seronoknya kita, jika nabi-nabi ini dari kalangan Bangsa kita tetapi Allah S.W.T. mempunyai rencanaNya sendiri. Barangkali untuk memastikan bangsa liar ini, kekal dalam kandangnya sebelum dibiarkan untuk menghancurkan dunia.

Alangkah terkejutnya Kaum Yahudi, apabila nabi seterusnya adalah seorang lelaki dari keturunan yang pernah berzina. Inilah menjadikan mereka terus menolak nabi Isa. a.s. sebagai seorang utusan Allah.

‘Ia datang kepada bangsanya,tetapi mereka tidak menerimanya. ( Lukas 9:41)’

 Nabi Allah ini sangat sabar orangnya, terus menyebarkan dakwah untuk bangsanya. Baginda tidak pernah membawa syafaat baru seperti Nabi Muhamad s.a.w. Baginda hanya menyambung apa yang di bawa oleh Nabi Allah sebelumnya bermula dari Nabi Musa a.s. Seperti nabi-nabi sebelumnya, Nabi Isa a.s. tidak membawa agama baru. Mengapa kita mengiktiraf Nabi Isa a.s. membawa agama baru?Seperti disebut oleh Ahmad Deedat dalam bukunya, ‘The Choice’, Ahmad Deedat menyebut ‘Ia tidak menciptakan agama baru dan tidak membawa hukum baru seperti mana Musa dan Muhamad’. Sedangkan apabila turunnya kembali Nabi Isa a.s., adalah untuk menafikan Kristian adalah agama dari langit.

“Janganlah kamu menyangka bahawa Aku datang untuk menafikan hukum Taurat atau menafikan kitab para Nabi. Aku datang bukan untuk menafikannya, melainkan untuk menyempurnakannya. Kerana Aku berkata kepadamu,’Sesungguhnya selama belum lenyap langit dan bumi ini, satu titik pun tidak akan ditiadakan dari hukum Taurat, sebelum semuanya terjadi’.”(Matthew 5 : 17-18)

 Perpecahan antara bangsa Yahudi berlaku atas dua fahaman yang berbeza, yakni fahaman mengakui Nabi Isa bukan utusan Allah dan sebaliknya. Inilah menjadikan kepada dua bangsa. Sedangkan perkara sebenarnya adalah tidak pernah wujud agama Kristian di sisi Allah S.W.T. Walaupun ada yang mengatakan ia sebuah agama kerana Nabi Isa a.s.menerima kitabnya iaitu Injil, ia hanyalah kesinambungan bagi kitab-kitab lama. Nabi Daud juga menerima kitabnya sendiri, tetapi agamanya masih tetap agama mengesakan Allah S.W.T. bukannya menjadikan tuhan itu tiga dalam satu. Pokoknya, agama yang menerima kenyataan Tuhan itu satu, tidak dapat diserupakan dengan apa-apa jua, tidak diperanakkan dan tidak beranak, Tuhan itulah yang bernama Allah S.W.T.


Isu Kalimah Allah

                Persoalan yang timbul dalam hati penulis, mengapa mereka ini mahukan Kalimah Allah dalam kitab mereka. Bagi penulis, pastilah bukan kerana mengakui Allah s.w.t. adalah Tuhan tetapi inginkan kata nama umum Tuhan dalam bahasa arab ini yakni Allah dimasukkan dalam Bible. Ini memudahkan kerja-kerja dakwah disamping memecahbelahkan umat Islam. Sehingga kini mereka berusaha mengaburi mata umat Islam dengan menyerupai perkara-perkara yang dilakukan oleh umat Islam. Sebagai contoh, di Indonesia, alunan ayat injil dalam bahasa arab yang menyerupai alunan bacaan Al-Quran. Kulit Bible yang menyerupai kulit AL-Quran. Penjual-penjual rantai salib dan gambar-gambar Jesus memakai Jubah dan Kopiah dan macam-macam cara lagi. Ini adalah untuk mengaburi mata rakyat Muslim terutamanya kanak-kanak.

                Jikalau kita perhatikan secara kasar, Bible telah diubah kepada beribu bahasa demi memudahkan fahaman pengikutnya. Termasuklah bahasa Inggeris, Arab, Indonesia dan lain-lain lagi. Inilah mengapa di Arab, perkataan Allah dibolehkan didalam Bible. Kerana jelas bahasa yang digunakan hampir 100% adalah bahasa arab. Tuhan dalam bahasa arab adalah Allah, jadi dimasukkan kerana ia dikenali sebagai kata nama umum. Manakala seperti Bible dalam bahasa lain contohnya dalam bahasa Inggeris yang menggunakan hampir 100% Bahasa Inggeris tidak menggunakan kalimah Allah kerana kata nama umum bagi perkataan Tuhan dalam Bahasa Inggeris adalah God. Hairan sekali mengapa Bible dalam Bahasa Melayu serantau, tidak mahu pula golongan ini menggunakan perkataan Tuhan tetapi inginkan perkataan Allah yang merupakan kata nama umum Tuhan dalam Bahasa Arab. Bukankah ini ibarat ada sesuatu yang cuba disembunyikan? Umat Islam di Malaysia  tidak akan mempunyai sebarang masalah jika mereka mahukan kata nama umum iaitu Tuhan digunakan dalam Bible. Bersama-samalah kita bersatu untuk menentang mereka yang menentang agama Islam, bersatulah di bawah satu panji. Fikirkanlah secara jelas demi masa depan kita semua.